Dec 8, 2010

SOALAN MUT – PUSINGAN AKHIR

SOALAN MUT – PUSINGAN AKHIR

Buat Duit Sdn Bhd, sebuah kafe siber yang terletak di Jalan Ayer Keroh Lama, telah membuat keputusan untuk mengubahsuai sebuah bangunan lama yang baru diperolehi oleh mereka, yang terletak di sebelah bangunan mereka yang sedia ada. Mereka telah memasuki kontrak dengan Mana Boleh Sdn Bhd berjumlah RM200,000 untuk kerja pengubahsuaian tersebut. Akibat kerja pengubahsuaian yang dijalankan oleh Mana Boleh Sdn Bhd di bangunan yang baru diperolehi tersebut, sebahagian daripada bangunan sedia ada telah mengalami kerosakan. Keretakan telah wujud di bangunan sedia ada, kerja mengecat telah terjejas secara serius dan kos membaik pulihnya adalah berjumlah RM25,000.

Selanjutnya, di penghujung penyempurnaan kerja pengubahsuaian, sebuah van milikan Mana Boleh Sdn Bhd yang membawa cat merbahaya telah ditinggalkan tanpa pengawasan dan tidak berkunci di hadapan tapak kerja. Cik Ichiwa Tamokasi, seorang yang berlalu di tapak kerja tersebut, berasa ingin tahu tentang punca bau dan beliau telah membuat penyiasatan. Sebaik sahaja beliau membuka bekas yang mengandungi cat tersebut, wasap yang kuat telah melemaskan beliau dan menyebabkan beliau menjadi tidak sedar. Seterusnya, Cik Tamokasi dalam keadaan koma yang berlarutan selama tiga bulan dan beliau masih belum pulih secara sepenuhnya sehingga hari ini. Mana Boleh Sdn Bhd terpaksa membelanjakan wang sebanyak RM30,000 untuk membayar bil –bil perubatan Cik Tamokasi.

Apabila Mana Boleh Sdn Bhd mengemukakan bil terakhir, harga yang dicatitkan pada bil tersebut adalah RM215,000. Jumlah tambahan sebanyak RM15,000 itu adalah untuk kos penggantian paip-paip air dan gas untuk seluruh bangunan. Apabila perkara ini dipertikaikan, Mana Boleh Sdn Bhd merujuk kepada Klausa 3 terma standard mereka, yang mana pengarah pengurusan Buat Duit Sdn Bhd telah menandatangani dan mengembalikannya di pertengahan tempoh kontrak, atas sebab beliau perlu mengurus banyak perkara lain dan telah lupa untuk menandatangani dokumen tersebut.

Klausa 3 memperuntukkan bahawa:

“Mana Boleh Sdn Bhd adalah berhak untuk mengenakan caj tambahan untuk kerja tambahan yang diperlukan sebelum kerja pengubahsuaian boleh dimulakan”.

Di samping itu, Mana Boleh Sdn Bhd menafikan liabiliti untuk kerosakan pada bangunan sedia ada dengan merujuk kepada Klausa 15:

“Mana Boleh Sdn Bhd tidak akan bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kerosakan yang berbangkit daripada kerja yang dijalankan mengikut terma-terma kontrak”

Mereka juga enggan membayar untuk kecederaan Cik Tamokasi dengan merujuk kepada Klausa 31, yang menyatakan bahawa:

“Buat Duit Sdn Bhd akan menanggung rugi Mana Boleh Sdn Bhd terhadap apa-apa kerugian atau kerosakan yang dialami oleh sesiapa yang berada di tapak kerja apabila kerja pengubahsuaian dijalankan”.

Buat Duit Sdn Bhd telah mengeluarkan satu cek yang bernilai RM175,000 kepada Mana Boleh Sdn Bhd dan mereka menegaskan bahawa mereka terpaksa membelanjakan RM25,000 untuk membaik pulih kerosakan yang disebabkan oleh kerja pengubahsuaian.

Dalam Mahkamah Sesyen, Mana Boleh Sdn Bhd telah menuntut terhadap Buat Duit Sdn Bhd untuk (1) jumlah sebanyak RM25,000 yang mereka anggap sebagai baki yang belum dijelaskan daripada jumlah kontrak; (2) jumlah sebanyak RM15,000 sebagai kos untuk mengganti paip-paip gas dan air; (3) penguatkuasaan tanggung rugi oleh Buat Duit Sdn Bhd untuk perbelanjaan perubatan ke atas Cik Ichiwa Tamokasi. Buat Duit Sdn Bhd mempertikaikan bahawa ketiga-tiga klausa patut ditafsirkan sebagai tidak menyebelahi Mana Boleh Sdn Bhd kerana dalam keadaan ini, Buat Duit Sdn Bhd telah bertindak dalam kapasiti seorang pengguna.

Hakim Mahkamah Sesyen Tuan Abe Lincoln memutuskan bahawa:

(1) Buit Duit Sdn Bhd adalah bertanggungan untuk membayar Mana Boleh Sdn Bhd jumlah sebanyak RM25,000 kerana Mana Boleh Sdn Bhd adalah dilindungi sepenuhnya oleh Klausa 15. Ini disebabkan Klausa 15 telah dimasukkan ke dalam kontrak apabila kontrak itu ditandatangani oleh pengarah pengurusan Buat Duit Sdn Bhd. Klausa 15 adalah tidak kabur dan ia memenuhi ujian kemunasabahan.

(2) Buat Duit Sdn Bhd adalah bertanggungan ke atas jumlah RM15,000 kerana Klausa 3 telah dimasukkan dengan sempurna ke dalam kontrak. Adalah tidak penting untuk menimbangkan sama ada kontrak tersebut hanya ditandatangani setelah kerja penggantian paip telah disempurnakan. Meskipun Klausa 3 mempunyai skop yang terlalu luas, mahkamah berpendapat bahawa ia memenuhi ujian kemunasabahan. Justeru itu, Klausa 3 boleh dikuatkuasakan terhadap Buat Duit Sdn Bhd.

(3) Tanggungan rugi untuk perbelanjaan perubatan bawah Klausa 31 adalah efektif kerana ia telah dimasukkan dan digubal dengan sempurna dan tidak terlalu membebankan.

Apabila rayuan ke Mahkamah Tinggi dibuat, keputusan Mahkamah Sesyen tentang ketiga-tiga pendapat tersebut telah dikekalkan.

Buat Duit Sdn Bhd kini membuat rayuan ke Mahkamah Rayuan setelah mendapat kebenaran untuk berbuat demikian.

No comments: